Sabtu, 26 Disember 2009

HIJRAH MEMBENTUK INSAN CEMERLANG.

Hijrah berasal dari perkataan bahasa Arab yang membawa maksud meninggalkan satu tempat untuk menuju ke tempat lain. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani. Maksud hijrah jasmani ialah meninggalkan satu-satu tempat. Manakala hijrah rohani ialah meninggalkan sikap, kepercayaan, akidah emosi dan tasawur yang buruk dan menggantikannnya dengan yang lain .

Kefahaman konsep hijrah dengan mendalam boleh membentuk insan yang cemerlang, dan kecemerlangan ini adalah diukur dari beberapa sudut antaranya:


1. Cemerlang Aqidah Dan Ibadah.

Beriman kepada Allah akan melahirkan individu Muslim yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan amanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Di dalam iman itu terangkum unsur-unsur utama iaitu ilmu pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang utuh dan keyakinan yang kukuh. Ketiga-tiga unsur inilah yang membentuk iman yang teguh, seterusnya menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat. Beriman tanpa ketaatan melalui amal ibadah adalah sia-sia. Insan yang cemerlang aqidah dan ibadahnya akan tergambar melalui amal perbuatan sehariannya, bahkan inilah tujuan Allah menjadikan manusia itu untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah di dalam surah az-Zaariyat ayat 56:


Maksudnya : " Dan (ingatlah) tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaku."

2. Cemerlang Fizikal Atau Jasmani.

Kita dituntut sepai menjaga kesihatan tubuh badan serta akal. Kerana dengan tubuh badan yang sihat, seseorang itu dapat bekerja mencari rezeki yang halal lagi baik bagi diri dan keluarga. Selain itu, dengan tubuh badan yang kuat dan sehat, kita dapat mempertahankan diri dari diceroboh maruah dan harga diri, menjaga keselamatan, keamanan serta kedaulatan negara dari diganggu gugat dan dicemari. Sabda Rasulullah SAW:



اَلْمُؤْمِنُ اْلقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ. (أو كما قال)

(Hadis Riwayat Muslim)

Maknanya : " Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari seorang mukmin yang lemah."

3. Cemerlang Akal Dan Emosi.

Begitu juga, kita umat Islam dituntut supaya cemerlang akal dan emosi. Tuntutan menjaga kesihatan tubuh badan dan menjaga akal adalah berkait rapat, kerana akal yang sejahtera terletak di dalam tubuh badan yang sihat. Ini dipetik dari kata-kata ulama: "اَلْعَقْلُ السَّلِيْمِ فِي الْجِسْمِ السَّلِيْمِ". Oleh sebab itu, Agama kita Islam sangat menitikberatkan soal makanan halal lagi baik. Maka dengan makanan yang halal lagi baik inilah yang membina tubuh badan yang sihat serta akal yang cerdas. Untuk menjadikan akal berfungsi dengan cemerlang, maka tidak ada jalan lain iaitu dengan belajar bersungguh-sungguh dan menimba ilmu pengetahuan sehingga mencapai tahap kepakaran atau mahir dalam apa-apa bidang sekalipun, baik dari sudut duniawi mahupun ukhrawi.


Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1431H yang sedang kita raikan ini, wajar kita melihat sepintas lalu, sirah baginda Rasulullah SAW dan para sahabat RA, baik dari golongan muhajirin mahupun golongan Ansar, mereka berjuang bermati-matian berkorban jiwa raga, harta benda dan anak pinak semata-mata demi memartabatkan Islam agama tercinta. Islam yang dahulunya dagang, maka insan-insan cemerlang (para sahabat) yang dididik oleh Rasulullah SAW, telah berjaya membina suatu ketamadunan yang sungguh luar biasa, mencakupi bidang peradaban manusia, sastera, perubatan, perundangan, sains, matematik, astronomi, botani dan sebagainya. Bukan murah pengorbanan yang ditagih, tidak ternilai keringat, air mata dan darah yang gugur membasahi bumi, hasilnya sedang kita nikmati ini adalah di atas jasa-jasa serta pengorbanan mereka yang terpahat dalam ingatan seluruh umat Islam dan lipatan sejarah silam.


Sesungguhnya, telah terbukti bahawa generasi para sahabat dan zaman beberapa abad selepas itu merupakan generasi terbilang yang seharusnya kita contohi dan kita teladani. Mereka itu bukan sahaja cemerlang aqidah, cemerlang dalam penerokaan ilmu, cemerlang rohani dan jasmani, bahkan mereka itulah yang telah mencetuskan ketamadunan dan teknologi moden yang ada pada hari ini. Di antara pengajaran yang boleh diambil di dalam usaha kita mengejar impian untuk menjadi umat terbilang ialah:


a. Kita hendaklah terlebih dahulu membangunkan modal insan sebagai teras yang mendasari peradaban manusia itu sendiri.

b. Kita perlu sedar bahawa kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada keupayaan fizikal dan kelengkapan material semata-mata, bahkan kekuatan yang sebenar adalah terhasil dari gabungan antara keupayaan fizikal dan material serta dilengkapi kemantapan rohani.

c. Untuk menjadi umat terbilang, suatu bangsa itu hedaklah sentiasa menjunjung ketinggian akhlak. Seorang penyair Mesir Mohd Syauqi Bek pernah berkata di dalam syairnya:



إِنَّمَا اْلأُمَمُ اْلأَخْلاَقُ مَا بَقِيَتْ # فَإِنْ هُمُوْ ذَهَبَتْ أَخْلاَقُهُمْ ذَهَبُوْا

Ertinya : " Kemuliaan atau maruah suatu bangsa itu terletak pada ketinggian akhlaknya, jika hilang akhlaknya maka hilanglah maruah bangsa itu".


d. Untuk menjadi umat terbilang, kita hendaklah bersikap terbuka dan sanggup berhijrah dengan mempelajari apa jua bidang pengetahuan, pengalaman serta pencapaian negara-negara luar yang lebih maju di atas kejayaan yang telah mereka capai. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:



اَلْحِكْمَةُ ضَآلَّةُ اْلمُؤْمِنُ يَلْتَقِطُهَا حَيْثُ وَجَدَهَا. (أو كما قال)

Maksudnya : " Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) itu hilang dari genggaman orang mukmin, kutiplah ia di mana sahaja ia didapati."


e. Hendaklah mempunyai daya saing dan daya juang yang tinggi dalam melakukan sesuatu usaha, kajian atau ciptaan baru tanpa mengenal erti jemu dan letih walaupun memakan masa yang lama.



4. Amalan sunat pada bulan Muharram.

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:

i. Berpuasa.

Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharram

                       pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.

Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharram, iaitu hari     
                        Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat   
                        selama 2 tahun.

ii. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.

iii. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar

iv. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib

V. Berpuasa pada hari Asyura' iaitu pada 10 Muharram.



SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1431 H

SEKIAN , WASSALAM.

Hj Nazri bin Ngah


SMKTLS 26 / 12 / 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan