Khamis, 26 November 2009

Nilai Sebuah Pengorbanan

Al-Hamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana pada tahun ini dapat kita menyambut Hari Raya Idul Adha 1430 H. Pada hari ini kita di tanah air menyambut hari raya dengan penuh sederhana kerana kebetulan dengan musim tengkujuh.

Pada hari ini mengingat kembali suasana kami sekeluarga di Mina pada tujuh tahun yang lalu iaitu pada tahun 2003 ketika mengalami suasana penuh cabaran dalam perjalanan ke Mina setelah selesai bermalam di Muzdalifah. Cuba bayangkan jarak perjalanan lebih kurang 3 km sahaja tetapi telah mengambil masa selama 15 jam berada dalam bas. Syukur kepada Allah S.W.T.akhirnya kami dapat juga sampai ke Mina setelah seharian sesat dalam bas. Kita antara kumpulan yang bernasib baik kerana sempat bermalam di Muzdalifah tetapi beribu lagi jemaah Malaysia tak sempat bermalam kerana atas sebab-sebab tertentu.dan ada yang tiba di Mina pada hari yang ke 11 Zulhijjah.

Pada tahun ini suasana di Arafah agak getil juga kerana jemaah haji terpaksa bersesak ketika wukuf dalam suasana banjir kilat dan menyebabkan 70 orang lebih terkorban kerana banjir. Tempat kita hujan dan banjir adalah biasa, tetapi di negara arab atau Padang Arafah, hujan dan banjir itu adalah luar biasa dan jarang berlaku kerana negara ini adalah padang pasir dan menerima hujan adalah amat sedikit setiap tahun.

Semua yang berlaku ini adalah ketentuan Allah S.W.T. dan memerlukan kesabaran dan pengrbanan yang tinggi dari semua jemaah haji, dan apa yang berlaku ini adalah sebahagian dari tanda-tanda akhir zaman.Inilah nilai pengorbanan yang sebenar yang perlu dihadapi oleh jemaah haji dan tujuan Allah S.W.T. memberi kepada kita berbagai bentuk ujian adalah untuk meningkatkan keimanan an ketaqwaan kita kepada Nya.

Hari Raya Haji atau juga dikenali dengan Hari Raya Qurban kerana umat Islam di perintah supaya melakukan ibadat qurban untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. , sebagaimana yang dilakukan oleh nabi Ibrahim A.S. dimana Allah memerintahkan baginda menyembelih anak kesayangannya nabi Ismail A.S. , suatu perintah yang amat sukar dilaksanakan bagi fitrah semulajadi manusia yang mempunyai akal yang waras.

Peristiwa pengorbanan ini dirakamkan oleh Allah S.W.T. dalam surah As-Sofat ayat 102 hingga 109 yang bermaksud:

"Maka tak kala anaknya sampai ( keperingkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata : wahai anak kesayangan ku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab wahai ayah , jalankanlah apa yang diperintahkan kepada mu, Insyallah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. Maka apabila keduanya berserah bulat-bulat dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya  atas tanah untuk disembelih, ketika tersebut Kami ( Allah ) menyerunya: Wahai Ibrahim engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu . Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha menngerjakan kebaikkan. Sesungguhnya perintah Allah itu adalah satu ujian yang nyata , dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. dan kami kekalkan baginya ( nama yang harum ) dalam kalangan orang -orang yang datang kemudian . Salam sejahtera kepada nabi Ibrahim"

Begitulah pengorbanan yang di tunjukan oleh nabi Ibrahim dan juga puteranya Nabi Ismail.di mana kedua-duanya telah membuat satu pengorbanan yang besar dalam kehidupannya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T. antara nilai-nilai mulia yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ialah:-

Pertama: Kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah S.W.T. dan tidak berganjak sedikit pun dalam menjalankan perintah Allah S.W.T.

Kedua: Nilai kesabaran, Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran yang dihadapi serta tabah dalam meunaikan tanggungjawab.  

Pengorbanan dan kesabaran seperti inilah yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita agar kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran kehidupan di dunia ini dalam melaksanakan segala perintah Allah S.W.T. Nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail A.S. telah menggambarkan kepada kita cara beriman dngan perintah Allah S.W.T. atau ayat-ayat Allah dengan tanpa sebarang takwilan, rungutan, kesangsian,keraguan dan sebagainya.

Lihat sajalah bagaimana ibadat haji menuntut kita menunjukkan kesungguhan , ketabahan, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Sifat-sifat mulia ini sudah sewajarnya kita tunjukkan dalam semua jenis amal perbuatan kita.

Ingatlah bahawa ganjaran yang sebenarnya bukan datang dari makhluk atau manusia tetapi datang dari Allah S.W.T.

Sekian.

Selamat Menyambut Hari Raya Idul Adha

27 / 11/ 2009